Assalamualaikum w.b.t
Waktu Kerja Anjal Bagi Wanita
[color=indigo][color=green]KUALA LUMPUR 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia menimbangkan waktu kerja fleksibel bagi pekerja wanita agar mereka tidak lagi terikat dengan waktu kerja tetap seperti dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam usaha untuk menarik lebih ramai kaum wanita berkerja, maka perlu ada pendekatan fleksibel dan inovatif yang mengambil kira bahawa pekerja wanita juga adalah seorang ibu dan isteri.
Menurut beliau, kaum wanita lebih mementingkan masa kualiti bersama keluarga, mahu lebih waktu bersama anak di padang permainan berbanding terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
"Mungkin sukar bagi sesetengah wanita terikat dengan waktu kerja tetap seperti pukul 9 pagi hingga 5 petang kerana dalam waktu itu mereka perlu melakukan aktiviti penting lain seperti menghantar anak ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Wanita 2008 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen di sini hari ini..
Kata Najib, tidak ada sebarang kelemahan jika waktu kerja fleksibel diperkenalkan kerana ia terbukti sebagai mampu meningkatkan produktiviti dan bukan sebaliknya.
Sehubungan itu, Najib meminta hasil perbincangan meja bulat di Sidang Kemuncak Wanita 2008 berkaitan perkara itu dihimpunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk dirundingkan bersama Kementerian Sumber Manusia sebelum ia dibawa kepada Kabinet.
Ditanya jika beliau sendiri bersetuju dengan pengenalan waktu kerja fleksibel itu Najib berkata, beliau menyokong prinsip untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan kerana jumlah mereka belum setanding negara-negara maju.
Timbalan Perdana Menteri yakin, pengenalan waktu kerja fleksibel akan mampu menarik lebih ramai kaum wanita untuk berkerja.
Kata beliau, sehingga tahun lalu hanya 46.4 peratus wanita di negara ini terbabit dalam sektor pekerjaan iaitu satu jumlah yang rendah jika dibandingkan dengan negara maju seperti Sweden yang mana 77.7 peratus wanitanya berkerja, Denmark (76.7 peratus) dan United Kingdom (70.3 peratus).
Najib juga bersetuju jika wanita dibenarkan meninggalkan kerja mereka untuk satu tempoh waktu tertentu sebelum menyambungnya kembali apabila sesuatu urusan penting dalam hidup mereka selesai.
Beliau bagaimanapun mengakui masalah disiplin dan pengawasan diri akan menjadi isu yang lebih besar dalam ruang kerja pada masa hadapan jika sistem kerja fleksibel diguna pakai di negara ini.
Dalam pada itu, Yen Yen berkata, tempoh kerja yang terlalu lama sudah menjadi satu alasan yang kerap kali didengari apabila seseorang wanita mahu berhenti kerja.[/color] [/color]
Wassalam
Episod baru..
5 minggu yang lalu
0 cetusan rasa:
Catat Ulasan