Ahad, Disember 07, 2008

Di sebalik Raya Korban

Assalamualaikum w.b.t



Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut hari Raya Korban kepada pembaca blog ini. Semoga Raya Korban ini disambut bersekali dengan roh di sebalik sejarah raya korban otu sendiri. Hari raya korban atau hari raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat, teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Kita perlu melihat pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas, iaitu taat dan patuh kepada perintah Allah dalam apa jua keadaan.


Kalau kita cakap pasal korban, apa yang relevan hari ni adalah pengorbanan dalam erti kata yang lebih luas termasuklah pengorbanan antara seorang manusia dengan manusia yang lain dan secara individu, umpamanya pengorbanan isteri terhadap suami dan anak-anak, anak terhadap kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa yang sanggup berkorban demi anak-anak tercinta.


Tapi, tidak keterlaluan saya katakan, hidup hari ini kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan dan kepentingan diri, masih adakah yang sanggup melakukan dan menaburkan pengorbanan semata-mata kerana Allah s.w.t.? Walau sukar sekalipun, namun usaha ke arah itu perlu ada dalam setiap jiwa kita yang bernama islam. Sewajarnya kita menjadikan peristiwa korban Nabi Ibrahim tu sebagai inspirasi bagi memajukan kehidupan, kerana berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan pada agama.

Kesanggupan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya sendiri Nabi Ismail, bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia yang membabi buta, tetapi meyakini bahawa perintah Allah s.w.t. itu harus dipatuhi. Malah Allah Taala memberi perintah sedemikian sebagai peringatan kepada umat yang akan datang bahawa adakah mereka sanggup mengorbankan diri, keluarga dan harta benda yang disayangi demi menegakkan perintah Allah.


Hidup adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan macamana sekalipun perjuangan mesti diteruskan. Tidak akan ada pengorbanan tanpa kesusahan dan kesediaan seseorang untuk melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, tenaga dan masa sekalipun benar-benar akan menguji keimanan seseorang. Sesungguhnya kesediaan seseorang ibu, isteri mahupun anak berkorban, dapat membentuk peribadi mulia yang memahami erti keinsafan, bersyukur atas segala nikmat yang diterima dan bertimbang rasa kepada golongan yang kurang bernasib baik.


Peristiwa korban ini merupakan satu detik kejadian yang dapat ditanam oleh semua manusia dari semua peringkat usia dan latar belakang serta ilmu pengetahuan mereka dan sepatutnyalah juga semangat berkorban menjadi tuntutan paling besar sama ada dalam lingkungan keluarga, masyarakat mahupun, agama bangsa dan negara.


Marilah sama-sama kita saling mengingatkan, dan tulisan ini juga adalah peringatan untuk diri saya sendiri yang makin lama rasanya semakin melupakan falsafah disebalik 'korban' ini. Sedang Siti Khadijah yang sedang mengharungi saat-saat kematiannya masih sanggup menawarkan tulang temulangnya dijadikan jambatan untuk fisabillilah...siapalah kita yang lemah iman lagi kerdil di sisi Allah....

0 cetusan rasa:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP